Hidup ini ada kalanya sukar dan amat mengelirukan. Hanya orang yang benar-benar berpijak di bumi yang nyata sahaja yang bisa mengerti dan mampu menerima hakikat. Pelbagai cerita menghiasi pentas dunia, hanya percaya atau sebaliknya terpulang kepada kita untuk menilainya mungkin sebagai pengajaran dan mungkin juga sekadar bicara hati seorang insan....
Cuba kita berjalan di dalam taman dan sambil memandang bunga di depan kita, pilih mana bunga yang PALING cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kita petiklah bunga yang PALING cantik yang berada di depan kita.
Memang ada banyak yang cantik tapi hati kita selalu tidak puas dan ingin mencari bunga yang paling cantik, maka kita pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung, kita tak jumpa pun bunga yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang yang tercantik..kesudahannya, tiadalah bunga tercantik yang kita boleh petik.
Apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut. Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah kita jumpa paling cantik dan paling baik pada Mulanya walaupun jika diikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti bunga tadi.
Mungkin juga, Kita sering kali kecewa dengan pilihan pertama, mungkin juga pilihan pertama bukanlah yang terbaik tetapi pilihan pertama banyak mengajar kita erti kematangan. Apabila kita terjumpa pilihan yang kedua, kita akan lebih menghargai dan menjadi yang terbaik supaya kekecewaan yang sama tidak akan berulang. Jika seseorang hadir dalam hidup kita dan menjadi sebahagian daripada kita, tetapi atas sebab tertentu dia terpaksa pergi, jangan terlalu sedih, terimalah kenyataan itu dan sekurang-kurangnya dia pernah membahagiakan kita.
Mungkin akan tiba saatnya di mana kita harus berhenti menyayangi seseorang, bukan kerana orang itu berhenti menyayangi kita tetapi kerana kita menyedari bahawa orang itu akan lebih bahagia apabila kita melepaskannya..
Kita adalah kawan yang baik jika kita faham bahawa kawan baik kita bukanlah seorang yang sempurna. Kita adalah kawan yang baik jika kita menjadi kawan yang baik kepada kawan baik kita. Kita bukanlah kawan yang baik jika kita tidak menghargai kawan baik kita, kerana kawan yang baik akan sentiasa menghargai kawan baik nya. Semoga kita menjadi kawan baik yang baik.
Kadang-kadang kita terfikir dan tertanya mana semua kawan-kawan kita yg di suatu ketika kita sanggup bersusah payah untuk mereka, bukan untuk mengungkit cuma terasa diri terlalu terasing bila tidak dihargai, sedangkan mereka itu, ada saja dihadapan mata kita tapi mengapa kita dibuang jauh. Dlm meneruskan hidup ini, kita perlu terus berdiri tanpa harapkan insan yg bernama kawan yg sekadar datang dan pergi sesuka hati. Daerah kita bukan daerah bercinta, bukannya masa untuk merajuk, kasih memujuk, tiada senda gurau memanjang, kerana kita dalam berjuang.
Kita juga sering lupa bahawa tuhan telah menciptakan pintu peluang yang sangat banyak untuk dipilih, mengapa bila satu pintu telah tertutup, kita sering menangisi dan mengharapkan pintu tersebut akan kembali terbuka sedangkan banyak lagi pintu peluang yang terbuka luas untuk dipilih. Kita juga tidak menyedari bahawa setiap yang berlaku itu mempunyai rahsia tersendiri yang kadang-kadang kita sendiri tidak memahami hakikat yang tersirat.
Kemaafan mungkin amat berat untuk diberikan kepada orang yang pernah melukai hati kita. Tetapi hanya dengan memberi kemaafan sahajalah kita akan dapat mengubati hati yang telah terluka. Kemaafan yang diberi secara ikhlas umpama pisau bedah yang boleh membuang segala parut luka emosi.
Bukanlah sengaja seseorang itu melukakan hati kita, kadang-kadang seseorang itu terlupa watak dan peranan, mengejar bayang-bayang realiti,kerana kita cuma pelakon di dunia ini, tidak peduli silap sendiri, jangan mengalah biarpun salah, biar tegak benang yang basah, biar jauh dan berpisah, biar benci, sepi dan sendiri, keras hati membawa mati.
Semoga kisah klasik ini menjadi teman dan panduan di masa hadapan. Tiada seindah bahasa, perasaan yang lembut hanya mudah tersentuh dengan bicara. Biar diluka pedih kekecewaan yang telah lama, masa baru yang ditempuhi adalah rawatan yang meringankan hati yang pernah tercedera. Syukur, perasaan ini dikawal dan menjadi jiwa yang telah terdidik. Sesekali, angin akan menyapa menghembus dan mengetuk pintu hati yang sudah pasti teruja. Pengalaman mendewasakan diri, jangan menyesal kemudian hari.
Masa telah banyak merawat, walau parut terkesan, masa berupaya menenangkan. Terima kasih kepada masa yang mengajar bagaimana pengorbanan memberi makna dalam kehidupan yang lebih berharga. Mungkin, bicara ini tidak mampu memberi ketenangan pada isi hati lain yang punyai rasa yang berbeza namun meluahkan sudah cukup lega untuk kita membuka nafas baru yang seterusnya. Tidak mungkin ada penyelesaian pada sesuatu yang lain sedangkan jalannya di atas hati kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan