Ahad, 4 September 2011

Bingkisan Sejarah Raub



Bilakah nama "RAUB" mula muncul ?


Kawasan yang bernama "Raub" di hulu pahang adalah salah satu daripada tempat di pahang yang kaya dengan bijih timah dan bijih emas sejak zaman dahulu lagi.Daerah Raub dahulunya tidak terdiri sendiri tetapi adalah sebahagian jajahan Lipis atau Hulu Pahang yang luas dan subur.Berdasarkan cerita orang tua-tua dahulu asal-usul nama daerah istimewa ini berpunca daripada perbuatan orang Melayu yang "meraub" atau mengaut emas dari tebing sungai dengan begitu mudah sekali dengan hanya menggunakan tangan kosong kerana banyaknya kandungan emas yang terbenam di bumi Raub.Ketika itu salah satu tapak yang mengandungi banyak sekali emas ialah di kawasan padang di kaki bukit Rumah Rehat Raub yang dahulunya kawasan berair dan menjadi laluan angkatan bergajah para peniaga dari Hulu Pahang menuju ke Kuala Kubu,Selangor.Namun tidak begitu jelas bilakah sebenarnya nama Raub itu wujud secara rasmi.

Sebilangan orang tua-tua menyebut bahawa nama raub mula dikenali setelah Raja Impeh bin Raja Abdullah dan abangnya Raja Ismail bin Raja Abdullah datang dari Selangor membuka lombong emas secara giat di sekitar kawasan bandar Raub dan Sempam seperti yang ada hari ini.




Bagi penulis pendapat ini sukar diterima berdasarkan alasan berikut :

1.Nama daerah Raub sudah tersebut ketika Perang Saudara Pahang (1857-1863) merebak melibatkan rakyat sebelah hulu pada tahun 1861 apabila Orang Kaya Haji Wan Daud mengumpul hulubalang dari pihak Rao (Rawa) yang diambilnya dari Raub dan Selangor.

2.Raja Impeh mula membuka kawasan lombong di Raub secara giat sekitar tahun 1880-an, manakala abangnya Raja Ismail tiba lebih awal di raub daripada beliau.kedua-dua bersaudara ini dikatakan menyokong Engku Muda Mansur yang hendak memberontak melawan abangnya, Sultan Ahmad ibni Bendahara Tun Ali pada tahun 1884.Kubu pertahanan telah disiapkan di Raub.Peperangan dapat dielakkan apabila Imam Perang Rasu Indera Gajah Pahang tiba dari Pulau Tawar dan menasihati Raja Impeh agar tidak melibatkan diri dalam sengketa antara kedua-dua anak raja pahang terbabit .Raja Impeh sebaliknya menafikan beliau terlibat menyebelahi pihak Engku Muda Mansur tetapi hanya membawa para pengikutnya untuk mencari dan membuka kawasan lombong emas yang baru di sekitar Raub .Jelas terbukti pada ketika Raja Impeh mencari lombong emas baru pada tahun 1884,nama “Raub” sudah pun disebut orang.


Kesimpulan yang dapat dibuat ialah nama daerah Raub itu berkemungkinan besar sudah mula timbul pada awal tahun 1850-an atau pun setidak-tidaknya awal 1840-an iaitu pada akhir pemerintahan Bendahara Seri Maharaja Tun Ali ibni Bendahara Paduka Raja Tun Koris (berkuasa dari 1806 hingga 1856).Rumusan ini dapat dipertahankan kerana tidak ada sebarang cacatan yang menyatakan wujudnya nama daerah Raub sebelum daripada tempoh tersebut.


Ada satu pendapat terpencil yang menganggap asal nama daerah raub itu sebenarnya berpunca daripada nama suku “RAO”(digelar “rawa” oleh orang Semenanjung)yang begitu ramai sekali mendominasi jumlah penduduk di kawasan terbabit hinggakan daerah raub terkenal sebagai “lubuk orang Rao” di negeri Pahang .Dengan peredaran masa,cara percakapan yang telah bercampur-baur dengan cara pertuturan orang Melayu Pahang akhirnya “Rao” itu berubah menjadi “Raub” dan daerah itu pun teruslah diberi nama “Daerah Raub” iaitu daerah yang paling ramai dihuni oleh suku Rao yang asalnya dari Sumatera Barat.Bukanlah suatu kebetulan barangkali apabila dibuat perbandingan bahawa daerah asal orang Rao itu ialah Sumatera Barat ,dan apabila tiba di Pahang mereka berkampung halaman pula di daerah Raub yang letaknya dalam kawasan Pahang Barat.Malah rupa buminya dengan bukit bukau dan tanah lembah untuk dibuat sawah padi dialiri oleh sungai saling tak tumpah dengan bentuk bumi tanah kelahiran suku Rao di Sumatera Barat.




KENAPA ORANG RAO MENUJU KE RAUB ?

Orang dagang yang turun dari sumatera dahulu memilih arah tujuan mereka berhijrah berdasarkan beberapa faktor utama iaitu:


1.Berdasarkan petua dan isyarat ilmu masing-masing

2.Berdasarkan faktor geografi dan sosial- iaitu mereka mencari kawasan muka bumi yang mirip dengan tempat asal mereka dan daerah yang ada ramai suku bangsa mereka.

3.Mereka mencari tempat yang dirasakan agak jauh tersorok di sebelah hulu dan selamat dari sebarang ancaman musuh.

4.Berdasarkan kepentingan ekonomi-misalnya tempat yang luas peluang perniagaannya dan kaya dengan sumber alam semulajadi seperti emas,timah dan hasil hutan.


Berdasarkan faktor inilah tatkala menjejakkan kaki ke bumi Semenanjung mereka pun berpecah membawa haluan masing-masing.Ada yang memilih untuk menetap di di Selangor,ada yang ke Perak dan Kedah dan ramai pula yang barhijrah ke Hulu Pahang.Diyakini telah pun ada orang Rao yang berhijrah ke Pahang pada akhir abad ke-18 tetapi pada zaman Bendahara Seri Maharaja Tun Ali (berkuasa dari 1806-1856)dan zaman almarhum Bendahara/Sultan Ahmad Shah ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Ali (memerintah dari 1863-1914) orang Minangkabau,Rao dan Kampar semakin berduyun-duyun masuk ke Hulu Pahang terutamanya ke daerah Raub.Ada antaranya bukanlah orang Rao tetapi berasal dari daerah lain di Pulau Sumatera seperti Talu,Batu Bara,Rokan,Jambi,Bilah,Palembang dan Kerinci.Disebabkan daerah Raub dari awal lagi begitu ramai dihuni oleh orang Rao sehingga dikenali sebagai “lubuk orang Rao di Pahang” maka secara tak langsung kelompok orang Sumatera yang lain itu pun disebut orang Rao juga.



Pilihan orang Rao untuk berkampung halaman di raub amat tepat sekali kerana majority masyarakat orang Melayu yang sedia wujud di situ berasal dari Minangkabau juga iaitu dari Keturunan Panglima Tok Perak yang tiba di situ lebih kurang 100 tahun terdahulu.Tanah di Hulu Pahang yang sangat subur sangat luas dan belum terusik pada waktu itu.Pemerintah Pahang pada zaman itu pula bersikap terbuka dan sentiasa menerima kedatangan saudara serumpun dari tanah seberang.Mereka yang datang dari seberang itu pula kebanyakannya bukanlah orang sembarangan tetapi anak raja dan kaum bangsawan bergelar di tanah kelahiran mereka.Akibat penjajahan Belanda mereka dengan rendah hati sanggup pula menghambakan diri kepada pemerintah Pahang.


DIPETIK DARI:
BINGKISAN SEJARAH RAUB (Rao dan Pagaruyung:Pertaliannya dengan Raub dan Pahang)

TULISAN ASAL:
Zaffuan Haji Manap

CETAKAN:
ANJUNG MEDIA RESOURCES




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ShareThis